KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli mencadangkan kepada kerajaan agar mempertimbangkan subsidi 30 peratus baja kepada peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di seluruh negara.

Ini kerana katanya, peneroka Felda berdepan dengan tekanan kos sara hidup yang tinggi dengan pendapatan isi rumah kurang RM1,500 sebulan.

"Saya dimaklumkan bahawa golongan peneroka Felda belum pernah mendapat subsidi baja berbanding agensi lain di bawah sektor perladangan dan komoditi. Dalam menjalankan aktiviti perladangan jumlah pembelian baja bagi seorang peneroka adalah lebih kurang RM8,500 setahun.

"Anggaran perbelanjaan bagi pembelian baja peneroka di seluruh negara RM950 juta bagi kawasan ladang seluas 480,000 hektar. Sumbangan hasil peneroka RM7 bilion kepada pendapatan negara, Jempol mencadangkan kerajaan mempertimbangkan subsidi baja sekurang kurangnya 30 peratus kepada peneroka Felda," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Ujar Shamsulkahar lagi, cadangan itu bakal melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM287 juta setahun, sekali gus memberi kelegaan kepada lebih 112,000 peneroka Felda.

Tambahnya, golongan peneroka Felda antara penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan sumbangan RM7 bilion pada tahun 2023.

Selain cadangan subsidi baja kepada peneroka Felda, beliau turut mencadangkan agar kerajaan mengkaji pelarasan pendapatan minimum peneroka Felda.

Ujarnya, peneroka Felda hanya mampu meraih pendapatan purata RM1,200 sebulan selepas menolak kos buruh, baja dan sebagainya.

"Jempol mencadangkan dibuat pelarasan pendapatan minimum peneroka Felda RM1,500. Saya fokus kepada pendapatan peneroka Felda setiap bulan. Pendapatan purata mereka selepas ditolak kos buruh, baja dan sebagainya hanya RM1,200 sebulan.

"Ini jauh lebih rendah daripada pelaksanaan gaji minimum. Jempol mencadangkan sudah sampai masanya kerajaan bertindak secara proaktif dengan menyelaraskan pendapatan isi rumah peneroka RM1,500 sebulan sesuai dengan Dasar Gaji Minimum Negara," katanya lagi.